Imam Ahmad telah memberitakan dari Humaid bin Hilal, dia berkata:
Ada seorang lelaki yang sering berulang-alik di kampung kami, lalu dia
membawa cerita yang aneh-aneh kepada orang-orang kampung. Dia bercerita:
Suatu ketika aku datang ke Madinah dalam rombongan dagang, lalu aku
menjual semua barang-barang yang aku bawa. Aku berkata kepada diriku:
Mengapa aku tidak pergi kepada orang lelaki yang membawa ajaran baru
itu, barangkali aku dapat mendengar berita-berita yang aneh untuk aku
bawa kembali bersamaku?! Aku pun pergi kepada Rasulullah SAW untuk
bertanya sesuatu, lalu Beliau menunjuki arah sebuah rumah, katanya: Ada
seorang wanita yang tinggal di rumah itu . Pernah dia mengikut tentera
Islam berjihad, dan ditinggalkannya 12 ekor kambingnya dan sebuah alat
tenunan yang digunakannya untuk menenun pakaian. Apabila dia kembali
dari berjihad, didapati kambingnya hilang seekor, dan alat tenunannya
pun hilang. Dia merasa sedih atas kehilangannya itu. Maka dia pun
mengangkat kedua belah tangan berdoa kepada Tuhannya dengan penuh
kesungguhan, katanya:
"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan jaminan
bahawa siapa yang keluar berjihad pada jalanmu, Engkau akan pelihara
harta bendanya, dan sekarang aku telah kehilangan seekor kambing, dan
alat tenunanku. jadi aku minta ganti kambing yang hilang dan alat
tenunanku itu!"
Rasulullah SAW terus menceritakan betapa
sungguh-sungguhnya dia berdoa dan memohon kepada Tuhannya, sehingga pada
esok harinya dia mendapati di pintu rumahnya kambingnya yang hilang itu
dengan seekor kambing lagi bersamanya. Begitu juga dia melihat alat
tenunannya ada di situ dengan satu alat tenun yang lain. Itulah
ceritanya, kata Rasulullah SAW dan jika engkau mahu, pergilah kepadanya
di rumah itu, dan tanyalah dia cerita itu! "Tidak", jawabku, "akan
tetapi aku percaya semua yang engkau katakan itu!" (Majma'uz-Zawaid
5:277)
No comments:
Post a Comment